"Dialah yang
memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohonkan ampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari
kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha
Penyayang kepada orang-orang yang beriman." [Al Ahzab (33): 43]
Madinah : 17 Ogos – 25 Ogos 2015 (2-10 Zulkaedah 1436 Hijrah)
– Episod 1
Madinah (Movenpick Hotel Anwar Al Madinah)
17 Ogos 2015… 3 bulan lalu dari tarikh hari ini, adalah hari
pertama perjalanan haji selama 46 hari. Kelompok ini adalah kelompok Jemaah
yang ke-5, iaitu KT05, yang berjumlah lebih kurang 400
orang, akan memulakan perjalanan ke Madinah. Kami perlu mendaftar masuk pada jam 1.30 pagi. Pihak TH telah memberi pilihan
samada mahu ke Makkah atau ke Madinah terlebih dahulu. Beberapa pendapat
ditanya, dan akhirnya kami memilih untuk ke Madinah terlebih dahulu, supaya
dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam membuat persediaan untuk mengerjakan
haji.
Emak, Wak Siah dan anak-anak telah menghantarku ke Kompleks
TH Kelana Jaya. Kami tertolak dari rumah lebih kurang jam 9 malam. Perjalanan
ke TH tidak lama, lebih kurang 30 minit, dengan jarak lebih kurang 20km. Sampai
di TH, Bik Mun dan keluarga sudah ada, termasuk Paman Rin dan Cik Puteh. Tidak
lama selepas itu, Nashriq pula sampai. Setelah Nashriq pulang, sahabat
wisataku, Kak Nor dan Azila pula datang.
Alhamdulillah, mudah mereka mencari
tempatku menunggu bersama anak-anak. Sempat Azila memberikan petua kepadaku.
“Orang kata, semasa turun dari kapalterbang dan sebelum menjejakkan kaki ke
Makkah atau Madinah, jangan lupa berdoa kepada ALLAH SWT, memohon agar kita
dijadikan seperti orang Arab, selera dengan makanan yang disediakan dan selesa
dengan kehidupan seharian di Arab Saudi.” Itulah yang kulakukan semasa pertama
kali jejakkan kaki di Lapanganterbang Madinah.
Lebih kurang jam 3.00 pagi kami dibawa menaiki bas ke KLIA
dari Kompleks TH di Kelana Jaya. Sebanyak 11 buah bas telah disediakan sebagai
pengangkutan untuk Jemaah haji KT05 ke KLIA. Kami diiringi oleh polis trafik
dan semua kesebelas bas telah bergerak serentak meninggalkan Kelana Jaya.
Kuala Lumpur International Airport (KLIA)
Kami terus dibawa ke landasan penerbangan dan lalu melalui
landasan. Pengalaman baru kerana tidak pernah lalu di kawasan ini. Kami telah menaiki kapalterbang Arab Saudi. Alhamdulillah,
penerbangan yang lancar dan tiada gangguan apa-apa di udara.
Kami tiba di Madinah lebih kurang jam 7 pagi (waktu
tempatan). Di Madinah dan Makkah, waktu terlambat selama 5 jam jika
dibandingkan dengan waktu di Malaysia. Proses menunggu yang agak lama. Bagasi
yang dibawa tidak perlu diurus sendiri kerana pihak TH telah menyediakan
perkhidmatan penghantaran bagasi terus ke kamar hotel. Alhamdulillah, proses
yang mudah dan lancar.
Lebihkurang jam 9 pagi kami tiba di Hotel Movenpick Anwar,
yang jaraknya cuma 100meter dari Masjid Nabawi. Bilik Paman Saidi dan Adli
bersebelahan dengan bilik kami berdua. Syukur ya ALLAH, selepas berehat dan
makan tengahari, kami bersiap-siap untuk solat Zuhur di Masjid Nabi.
Alhamdulillah...Hati tidak
berhenti-henti mengucap syukur, atas kasih sayang ALLAH SWT, dapat lagi aku
kembali ke Masjid Nabawi selepas 8 tahun.
Landasan KLIA |
Lapanganterbang Madinah |
Perjalanan ke Hotel Movenpick Anwar, Madinah |
Jadual KT05 |
No comments:
Post a Comment