(Ini adalah)
Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada cahaya
terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (yaitu)
menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. [Ibrahim (14): 1]
Madinah : 17 Ogos – 25 Ogos 2015 – Episod 2
Ziarah Luar Madinah – 19 Ogos 2015
Pada 19 Ogos kami dibawa untuk melawat tempat bersejarah di
Madinah. Selepas solat Subuh, sekitar jam 6.30 pagi, kami telah berkumpul dan
menaiki bas yang telah disediakan. Kami dibawa melawat Pasar Kurma, Masjid
Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan sekitar bandar Madinah. Semasa di
Pasar Kurma, kami telah membeli kurma untuk dikirim pulang ke Malaysia.
Perkhidmatan pos yang disediakan di Hotel Movenpick telah memudahkan urusan
pengiriman pulang oleh-oleh dari Madinah.
Uzur shari’e telah membataskan pergerakan untuk solat di
Masjid Nabawi. Masa banyak dihabiskan di dalam hotel, sambil menonton
siaran langsung dari Masjidilharam. Mendengar bacaan AlQuran dan melihat
suasana di sekitar Kaabah dari dalam kamar. Sayu, mengenangkan telah berada di
bumi Madinah, namun terhalang untuk solat di Masjid Nabi. Kita berencana, ALLAH
jua yang menentu segala.
Sebelum berangkat ke Makkah, aku berkesempatan pergi ke
Raudhah,yang berada di dalam Masjid Nabawi. Ketika ini, jamaah sudah ramai yang
tiba di Madinah, termasuk dari Indonesia, India, Pakistan, China dan lain-lain
lagi. Suasana di Raudhah sudah mulai sesak. Semasa berada di dalam Raudhah, aku
terkepung segenap penjuru oleh jamaah dari berbagai negara. Terasa seperti mau
sesak nafas, ditolak dan dihimpit, namun dikuatkan hati untuk keluar dari
kepungan itu. Alhamdulillah, akhirnya dapat membebaskan diri dari kelompok jemaah itu. Hanya sekali
sahaja dapat melawat Raudhah, iaitu pagi sehari sebelum bertolak ke Makkah.
Hari terakhir, selepas solat
Subuh, bersama Bik Mun, kami berjalan kawasan berhampiran dengan Makam Nabi
Muhammad SAW, untuk lawatan Wada’. Pagi itu kami akan berangkat ke Makkah,
setelah hampir 8 hari berada di Madinah. Lawatan selamat tinggal kepada Nabi
Muhammad SAW, nabi kesayangan umat Islam. Jamaah wanita tidak lagi dapat
berkunjung ke Makam Nabi melalui jalan di dalam Masjid Nabi, oleh itu kami
terpaksa mengucapkan selamat tinggal dari luar sahaja. Kami juga berdoa,
memohon kepada ALLAH SWT agar diberi kesempatan untuk berkunjung ke Madinah
lagi, di lain waktu.
No comments:
Post a Comment