Saturday, December 6, 2014

Kifarah

Dua tiga hari ini badan tidak berapa selesa, demam, selsema, batuk... Semoga ALLAH SWT menghapuskan dosa-dosa yang ada dengan sakit dan demam ini... Baru sekaranglah terasa, sakit demam ditanggung sendiri...

Amat mudah ALLAH memberi pembalasan ke atas apa yang kita lakukan, walaupun kadang-kadang apa yang dilakukan itu adalah di luar kesedaran. Sendirian sekarang ini, demam batuk, mengadu dengan anak-anak, kadang2 tidak dihiraukan.. tidak seperti dulu, bila mengadu, ada yang tolong picitkan kepala yang pening dan urutkan badan yang penat... Semua kini ditanggung sendiri... Aku tidak mengeluh dan tidak menyalahkan sesiapa, tapi .. itulah kenyataan yang harus diterima... aku redha...

Mudah-mudahan ALLAH memberi ku kesihatan dan kekuatan, untuk meneruskan rencana esok... mengembara dan menelusuri jalan darat di antara Palembang - Muoro Bungo - Jambi - Bukittinggi - Padang, yang biasa dilalui oleh Abang. Merasai sendiri keindahan bumi Sumatera Selatan terus ke Sumatera Barat, merentasi Bukit Barisan.. perjalanan yang menyeronokkan, yang mungkin menjemukan, juga mungkin memenatkan. Pengalaman yang tidak dapat dirasai jika di Semenanjung Malaysia...

Tidak mengapalah, rasailah apa yang ingin dirasai... segala kesukaran2 itu, semoga memberi pengalaman dan kesedaran, apa yang ALLAH berikan itu, adalah yang terbaik dari segi perancangan dan penganugerahanNYA...

Semoga senantiasa bersyukur apa adanya, jangan terlalu kecewa dan berdukacita...

Hidup kita, kitalah yang perlu membuat pilihan...

Thursday, December 4, 2014

Anniversary

Anniversary...?

Yang ke-23 adalah pada 17 November dan yang ke-21 adalah pada 4 Disember...

Sebenarnya jarak itu tidak jauh, tidak sampai sebulan... adakah disengajakan atau memang telah ditentukan begitu... Perkahwinan yang melebihi dari 20 tahun adalah ikatan perkahwinan yang amat kukuh, walaupun banyak cabaran, pertengkaran dan selisih faham, tetapi akhirnya, dengan tolak ansur dan berlebih kurang, ia dapat dipertahankan... itulah ilmu dari apa yang ku baca...

Aku sudah tidak mengharap apa-apa... Aku sedar, kedudukan ini sekarang memang menyukarkan untuk mengambil keputusan dan tindakan... Aku pasrah seandainya ini adalah takdirku sehingga menutup mata nanti, takdir untuk ku habisi hidup ini bersendirian...

Tidak perlu bimbang dan khuatir kerana apa yang kuharapkan hanyalah persahabatan...

"Happy 21st Anniversary... I'm happy when you're happy..."

Friday, November 28, 2014

Tanggal 28 November 2014... Genap 3 bulan pemergian Abah...

Telah terasa kehilangannya
ramai... namun sepi
hingar... namun sunyi
nyata... namun mimpi...

Rasa-rasa yang saban waktu datang
antara rindu, ingatan dan kasih sayang
berputar menusuk dalam jiwa
mengimpi agar dapat ketemu semula...

Rupanya.. memang benar hanya bermimpi
ku himbau dulunya waktu yang jadi milik kami
meniti detik yang cuma sehari
lantas kau hantar ku kembali
melepaskan segala harapan
yang dulunya pernah digantung mapan
menjadi inspirasi agar terus ke depan
kini... tinggal aku seorang berjalan...

hanya mimpi, sayang...
hanya harapan ku gantung seorang...
kau terus melangkah... jauh
jauh... dan terus menjauh...


Thursday, November 27, 2014

Ya ALLAH, berikanlah kemudahan...

Ya ALLAH...
berikanlah kemudahan
untuk ku meneruskan perjuangan...

tugasanku menumpuk di meja
hingga kini masih menggunung
dilakukan semuanya tiada rasa
semoga suatu masa bisa dihitung

Ya ALLAH...
mudahkanlah
dari diriku segala lelah
berilah aku kekuatan
serta ketabahan
dan ikhlaskanlah diri
atas segala tugasan ini
agar menjadi penolong hakiki
sewaktu di akhirat nanti...

Sungguh...
................. aku lelah...

Monday, November 24, 2014

Sambutan Hari Guru RI - 25 November 2014

Hari ini adalah Sambutan Hari Guru di RI. Ini adalah kata-kata FB tentang guru...

"Apa kabar semua sohib? Celoteh hari ini... Mantan presiden ada, mantan gubernur juga ada, mantan bupati pun ada. Tapi.. Guru tidak pake mantan. Guru abadi...
Selamat Hari Guru dari si-murid." ~ FB.

Terima kasih, FB. Kata-katanya tentang guru, tentang dosen amat menginspirasikan...

"Guru, Dosen, Ustadz... Mereka adalah lentera, memancarkan cahaya-Nya." (2 November 2014)


Hari Ulangtahun Perkahwinan ke-23 (24 November 1991 - 2014) - Bahagian 2

Sampai di SA, sudah ramai sahabat dan saudara mara yang datang, berkumpul di depan rumah. Semuanya hanya memandang sahaja ketika aku memimpin Mak menuju ke rumah. Bella yang paling manja dengan Abah, meluru masuk… entah apa yang dirasakannya kini...

Aku masuk ke rumah seperti orang yang datang menziarahi/layat ke rumah itu, padahal akulah tuan rumahnya…. Ya ALLAH, entah apakah rasa yang sedang aku rasakan…?? Bella sedang mengadap Abahnya, berbisik-bisik…berbual dengan Abahnya untuk kali yang terakhir…

Hampir 23 tahun hidup bersama Abah, suka duka silih berganti… kehidupan yang dilihat orang sentiasa aman dan damai, kerana Abah memang seorang yang pendiam, sentiasa menyokong apa yang aku mahu lakukan, kecuali apabila tercuit sikapnya yang tidak dapat meninggalkan keburukan merokok. Ini telah menjadi penyebab kepada kucar kacirnya kehidupan yang berlaku di tahun 2011 – 2012… Akhirnya Abah berjaya meninggalkan rokok (ketika didepanku)... Mudah-mudahan dia dapat meninggalkan rokok itu sepenuhnya... aku sentiasa bersangka baik...

Jenazah Abah ku lihat seperti sedang tidur…mata tertutup rapat, tenang…. aman. Begitulah penyudahan kehidupan Abah. Hidup ku? Entah bagaimana penyudahnya nanti.. Semoga ALLAH ampunkan dosanya, lapangkan dan terangkan kuburnya, terima segala amalannya dan memasukkannya dalam golongan orang-orang yang beriman… Aamiin…

Abah disempurnakan di Masjid Seksyen 24 SA. Sebelum masuk waktu Asar, Abah sudah siap dimandikan dan dikafankan. Selesai saja solat Asar berjemaah, jenazah Abah disolatkan untuk kali terakhir. Ramai sahabat-sahabatnya yang datang dan turut serta menyembahyangkan jenazahnya…
Selepas itu, kami mengiringi Abah ke Seksyen 21 SA, ke tanah perkuburan persemadian Abah. Apabila ditanya mau dikebumikan di mana, tiada apa yang terlintas difikiran, cuma mahu menguruskan jenazah Abah seberapa segera yang boleh. Tidak sanggup mahu bertangguh-tangguh dalam urusan pengkebumian ini… Kubur Abah di tepi jalan besar, di Fasa 3 tanah perkuburan Islam di situ. 

Sekitar jam 6.15 petang, 28 Ogos 2014, urusan pengkebumian dan talkin telah selesai dilakukan..
Abah.. perginya tiba-tiba.. sehingga kini rasanya tidak percaya bahawa Abah sudah tiada. Rasanya Abah masih ada dan pergi kerja untuk tempoh yang lama… tidak pulang-pulang… Tidak sempat kami anak beranak mahu berbakti , menjaganya sakit.. Syukur, Alhamdulillah, aku telah memohon ampun dan maaf.. Perginya Abah tiada tanda apa-apa.. tiada persediaan apa-apa.. 

Terima kasih kepada saudara mara, sahabat handai, pelajar-pelajar dan rakan sekerja yang tidak putus-putus datang… memberi sokongan dan semangat agar aku dan anak-anak redho, tabah dan tetap tegar untuk meneruskan kehidupan…

Semoga roh Abah tenang dan aman di sana.. dan semoga Abah telah memaafkan ku.. aku tahu, aku bukan seorang isteri yang baik, dengan kesibukan kerjaku dan dengan kesibukan perasaanku… Ya ALLAH… semoga kehidupanku dan anak-anak akan terus KAU berkahi dan redhoi, KAU kurniai kami dengan hati yang sabar, kuat dan tabah dan KAU lindungi kami dari rasa sedih, dukacita dan putus asa… Aamiin…

Inilah cerita hidupku... Hidup yang tiba-tiba sendiri, hinggakan ramai sahabat yang menyatakan kagum melihat aku begitu tabah menghadapi kehilangan ini... Tiada siapa yang tahu akan rasa-rasa dihatiku, hanya ALLAH SWT. Semoga ALLAH akan terus memberiku kemudahan kerana.... aku tiada pilihan.. 

Aku perlu kuat dan tabah demi anak-anakku….

24 November 1991 - diapit oleh Arwah Abah dan Arwah Wak Yusuf serta tetamu dari NTB

Hari Ulangtahun Perkahwinan ke-23 (24 November 1991 - 2014) - Bahagian 1

Pernikahan pada 17 November 1991.

24 November, kami disatukan dalam sebuah majlis yang sederhana tetapi meriah. Majlis persandingan yang turut dihadiri oleh tetamu jauh yang istimewa dari NTB. Kehadiran yang tidak diduga. Dan kini, telah hadir semula setelah 20 tahun menghilangkan dirinya… Hadir, untuk pergi lagi…

ALLAH Maha Mengatur kehidupan ini. Tidak pernah termimpi yang aku akan hidup berseorangan di hari-hari tuaku. Dulu pernah merancang dan berangan-angan dengan Abah untuk keliling Malaysia dan seterusnya keliling Asia bila sudah tidak bekerja lagi dan anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing. Semuanya tidak kesampaian, kerana Abah terlebih dulu dijemput oleh ALLAH SWT.

Abah pergi pada hari Khamis, 2 Zulkaedah, 1435 Hijrah, bersamaan 28 Ogos 2014, dalam usia 54 tahun. Pemergian yang tiba-tiba kerana tiada tanda-tanda Abah sakit serius, cuma ada mengadu yang beliau kepenatan kerana tugasan yang banyak. Ramai yang tidak percaya Abah meninggal dunia kerana pada minggu, 24 Ogos 2014 baru saja bertemu kerana kami mengadakan jamuan Hari Raya Aidil Fitri 2014. Dan Abah, masih sihat walafiat...

Aku di kuliah semasa mendapat panggilan. Melihat nombor Abah yang muncul di skrin *6927, aku tidak menyangka apa-apa. Memang Abah selalu telefon ketika aku di kuliah. Rupa-rupanya, Nabil, anak ke-4 yang menelefon. Masih terngiang suara terkejut dan sebak Nabil.. “Mak, Abah tak bangun Mak… Baliklah Mak...” Suara Nabil sebak. Berderau darahku naik ke kepala. Aku minta Nabil pastikan dengan mengusap air ke muka Abah, tetapi Nabil kata, Abah tidak bangun juga. Aku terdiam, memikirkan apa yang patut ku lakukan. Jarak BJ ke SA adalah lebih kurang 65km, tergesa-gesa pulang hanya membahayakan diri sendiri.

Aku telefon Ajem, anak sulungku yang bekerja di PJ. “Ajem, balik sekejap. Nabil kata Abah tak mau bangun. Cuba lihat apa yang berlaku..” Ajem terus pulang ke rumah. Tidak lama selepas itu, Ajem telefon untuk mengesahkan…”Betul Mak, Abah dah tak ada…”

Aku pasrah. Aku redho. Abah telah dijemput oleh ALLAH SWT… Sampai di pejabat, Bella sedang menangis.. “Nabil telefon..” katanya. “Ya, Mak tau..” Bella kini sedang melanjutkan pengajian di UNISEL dalam Program Diploma TESL. Dari awal dia mengatakan mau menemankan aku pergi dan pulang dari kerja. Aku tidak tahu, mungkin itu juga adalah petanda. Kami terus segera pulang ke SA.
Rasaku……… tidak tahu untuk digambarkan. Aku langsung tidak bersedia untuk menggalas tugas dan kewajipan membesarkan anak-anak sendirian. Tidak pernah terlintas yang aku akan mendapat status baru ini sebegini cepat.. Sesuatu yang tidak pernah terfikirkan…

Ketika pulang, kami singgah ke rumah di SB untuk menjemput Mak. Tiada apa yang ku katakan padanya, melainkan..”Mak solat Zuhur dulu, kita balik SA”. Mak tidak tau apa-apa sehinggalah mendengar perbualan telefon di antara aku dengan Wak Siah. Aku juga telefon Anis, adikku. Selain itu, aku tidak ingat mahu telefon siapa-siapa lagi. Aku buntu.. aku ‘numb’.. Aku pandu kereta sangat tenang, mengikut arus kenderaan yang lain kerana memikirkan sedang membawa Bella dan Mak. Sambil memandu, semuanya menerjah ke minda. Cuba untuk mengingati, ‘flashback’ memori sekiranya ada tanda-tanda yang Abah tunjukkan. Memang tiada… 


Aku teruskan pemanduan di dalam kesesakan lalu lintas. Tiada airmata yang gugur, kerana… aku tidak merasa apa-apa… aku merasa kosong…hilang… Ketika dalam perjalanan itulah, Abang telefon bertanyakan keadaan yang sebenar… apa yang telah ku katakan itulah, jawapannya…

Friday, November 21, 2014

Hari ini Jumaat, 21 November 2014.

Hari Jumaat, adalah penghulu segala hari...
Hari Jumaat, adalah hari yang dinanti
kerana.. besok adalah hari cuti...
setelah letih bekerja sehari-hari..

Semoga akan bertemu lagi hari-hari Jumaat yang berkah
dipenuhi oleh kenangan-kenangan yang indah
bersama meniti hari melangkaui waktu
yang entah kapan... bisa lagi dapat bertemu...

Kau hanya tetamu...
menjengukku
sebentar.. kemudian terus berlalu...

Tuesday, November 18, 2014

2 Hal yang Membuat Musibah Berat Terasa Ringan

Berbagai cerita-cerita motivasi, kisah dan teladan yang cuba dibaca, bagi meringankan sedikit rasa berat di hati...

Semoga ALLAH SWT memberikan kemudahan, melapangkan hati, meringankan beban rasa... Aamiin..

"KETIKA seorang muslim mendapat musibah yang menurutnya dirasa berat, ingatlah dua hal ini maka hati kita akan lapang. Dengan hati yang lapang maka masalah seberat apapun akan terasa ringan.
Pertama, husnudzan kepada Allah karena Allah sangat sayang terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang ibu terhadap anaknya yang lama hilang kemudian ditemukan.
Yakini pula musibah ini adalah pengangkat derajat, menghapuskan dosa, kita pasti bisa menanggungnya karena Allah memberikan beban sesuai kemampuan hamba.
Para ulama menjelaskan bahwa yang namanya musibah hanya berat di awal saja, betapa banyak musibah dahulunya terasa berat namun bisa kita lewati dengan mudah
Pernah suatu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kedatangan rombongan tawanan perang. Di tengah-tengah rombongan itu ada seorang ibu yang sedang mencari-cari bayinya. Tatkala dia berhasil menemukan bayinya di antara tawanan itu, maka dia pun memeluknya erat-erat ke tubuhnya dan menyusuinya.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada para sahabat, “Apakah menurut kalian ibu ini akan tega melemparkan anaknya ke dalam kobaran api?”, Para sahabat menjawab, “Tidak mungkin, demi Allah. Sementara dia sanggup untuk mencegah bayinya terlempar ke dalamnya.”
Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
“Sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hamba-Nya daripada ibu ini kepada anaknya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Kedua, orang yang tidak mendapat ujian di akhirat kelak akan iri terhadap mereka yang mendapat ujian di dunia, mereka bahkan berangan-angan kenapa dahulu di dunia mereka tidak banyak mendapat ujian yang berat.
Nabi shallallahu ‘alihi wa sallam bersabda,
”Manusia pada hari kiamat menginginkan kulitnya dipotong-potong dengan gunting ketika di dunia, karena mereka melihat betapa besarnya pahala orang-orang yang tertimpa cobaan di dunia. ” (HR. Baihaqi, lihat ash-Shohihah : 2206)
Maka kini bergembiralah karena Allah ternyata menjadikan ujian yang kita dapatkan sebagai cara untuk menaikkan posisi kita di hadapan Allah. [irma/islampos/muslimafiyah]"
 - Islampos - Senin 24 Muharram 1436 / 17 November 2014 15:00.


Sunday, November 16, 2014

Ulangtahun Pernikahan ke-23 (17 November 1991 - 17 November 2014)

Hari ini adalah hari Ulangtahun Pernikahan ke-23...
...dan kusambut berseorangan...

Rencana ALLAH SWT adalah yang terbaik, 
ku yakin ada hikmah di sebalik semuanya ini...

Tuesday, November 11, 2014

Hujan...

Hujan sangat lebat petang ini, diiringi oleh guruh berdentuman.

Alhamdulillah, secepat itu hujan turun sangat deras, secepat itu juga hujan sudah berhenti.
Semoga.. mendung di hati, akan secepat itu berlalu pergi...

Friday, November 7, 2014

Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-9 (8 - 10 November 2014)

Hari ini bermula Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke 9, yang sepatutnya turut disertai oleh pelajar-pelajar ISM Sains Perpustakaan UNISEL. Aku turut merasai kekecewaan Kumpulan 1A yang terdiri dari 10 orang pelajar ex DLS.

Dari sudut hatiku yang paling dalam, ku mohon maaf. Memang seseorang perlu dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku ini. Melihat dari ofis, persiapan dan persediaan para graduan berbaris akan masuk ke Dewan Canselor, mengundang rasa gagal dan kecewa. Mohon doa..... Ya Allah, berikanlah hikmah di sebalik apa yang berlaku ini...

Semoga anda semua berlapang dada dan dapat menerima apa yang berlaku. Sekali seumur hidup, ramai yang mengatakan begitu, jadi kita mahu merasakan bahawa diri kita istimewa, menjadi yang pertama untuk semua-semuanya. Namun, usaha dibuat, perancangan dilakukan tetapi, kenyataannya hanya Allah yang memberi kuasa...

Semoga tetap tabah, kita tunggu di tahun hadapan...
Semoga, rasa yang dikecapi akan lebih indah, lebih bahagia...

Dewan Canselor UNISEL 7 November 2014

Thursday, October 30, 2014

2014 - Kisah dan kesinambungannya...

Assalamualaikum wm. wb.

2014.. sehingga hari ini, 30 Oktober. Terlalu banyak yang berlaku, lembaran peristiwa demi peristiwa... satu kisah hidup ke satu kisah hidup yang lain...

Benar bila dikatakan dunia ini hanya pinjam-pinjaman, akhirat juga yang kekal abadi.
Benar bila dikatakan, jodoh - ajal - maut.. Allah yang menentukan, manusia merancang, Allah jua yang memberikan kenyataan...

Kisah 2014 ku akan bermula di sini... akan ada kisah lagi seterusnya.. hanya sanya, kini waktu pinjaman Allah SWT ini rasanya terlalu singkat untuk meluahkan rasa.. demi rasa... yang tersangkut di dada...