“Barang
siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan segala
kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah
yang tidak disangka.” – [Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan
al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a]
Tahun 2015 adalah tahun yang sibuk dan
sukar. Ku cuba mengembalikan kekuatan ditinggalkan secara tiba-tiba, aku penuhi
hari dengan kesibukan, bersama Emak dan anak-anak. Tidak pernah terbayang, yang
aku akan hidup sendirian, memikirkan sendiri masalah-masalah yang dihadapi
tanpa dapat berbincang dengan orang terdekat. Syukur, masih ada Emak, menjadi
tempat bercerita walaupun sudah tidak fit memandangkan usia Emak sudah
meningkat 82 tahun.
Memang benar, ada sahabat-sahabat
membantu memberi pandangan, menjadi telinga tempat ku mencurahkan rasa hati
(curhat), menjadi bahu tempat aku bersandar, namun, mana dapat disamakan dengan
insan yang menjadi teman hidup. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan
dan semangat pada saat sokongan dan semangat itu amat diperlukan. Kekuatan
terpaksa dikumpulkan, menjadi seorang Emak dan Abah sekaligus untuk anak-anak.
Semoga anak-anakku dapat menerima apa adanya, dan sama-sama menjadi penguat
untuk diri masing-masing.
Kursus Haji, memang tidak pernah ku
hadiri sebelum ini. Kesibukan urusan keduniaan, menjadikan diriku kurang
perhatian dan tidak cuba untuk mengisi waktu menghadiri kursus yang banyak
diadakan di masjid-masjid. Bermula Disember 2014, aku menghadiri Kursus Haji di
Masjid Al Amin, Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh. Di sini, Kursus Haji 2015 dijalankan
oleh Gemilang Travel and Tours Sdn Bhd. Secara kebetulan, ustad yang memberi
kursus setiap minggu adalah teman sekolah semasa Tingkatan Enam di Anderson
Ipoh, 1984-1985, iaitu Ustad Mohd Azlan Suhaimi. Melalui Ustad Azlan jugalah,
aku telah menguruskan Badal Haji untuk Arwah Abah, dalam tahun 1435 Hijrah.
Semoga diterima oleh ALLAH SWT. Aku
menghadiri kursus haji di setiap pagi Ahad dan di Masjid Saujana Utama, pada
petang Sabtu.
Alhamdulillah, Kursus Haji 2015 dapat
dijalani dengan sempurna, di samping Kursus Intensif 2 hari di Kompleks Tabung
Haji Kelana Jaya (22 – 23 April 2015) dan Kursus Perdana (1 dan 2 Ogos 2015) di
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah, Shah Alam. Hari dilalui sambil menanti jadual haji yang akan ditetapkan
oleh TH. Masa diisi dengan membaca, membaca dan mengingat, agar ilmu yang
diperolehi mencukupi untuk dijadikan pedoman semasa mengerjakan haji nanti.
Doaku setiap waktu, semoga ALLAH mengurniakan usia yang panjang, memberi
kesihatan, kemudahan dan kesempatan untuk menunaikan Rukun Islam ke-5.
Di samping kesibukan menghadiri kursus
haji, ku sempatkan juga untuk menziarahi anak Mbakyu yang baru menjalani pembedahan
membuang appendik di DIY. Dijemput oleh saudara sebelah Arwah Bapa di Bandara Adisucipto, dapatlah juga bersilaturrahim dengan Mbak Titik dan keluarga. Semoga dapat
lagi bertemu di waktu yang lain pula.
Alhamdulillah, jeli gamat yang dibawa
dapat membantu sembuhnya luka pembedahan. Syukur, Qisthi cepat sembuh dan pulih
seperti sediakala. Sebelum pulang, di pagi Selasa yang masih sepi, sempat ku menyusuri
jalan utama ke UGM dalam kekalutan segala rasa.
Betapa ALLAH telah memberi
kemudahan dan kesempatan, mengenalkan yang asing, mendekatkan yang jauh,
memberi sambil menguji…
No comments:
Post a Comment