“Katakanlah:
“Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di
antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya). Dan barang
apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi
rezeki yang sebaik-baiknya.”. Surah Saba’ : ayat 39.
Giliranku semasa mendaftar untuk menunaikan haji, Rukun
Islam ke-5 adalah pada tahun 2016. Pendaftaran dibuat dalam sekitar tahun 2003
dan mengambil masa hampir 13 tahun untuk mendapat giliran sebenar. Urusan
pemotongan gaji telah diuruskan bersama Bahagian Gaji di tempat aku bekerja.
Alhamdulillah, tindakan membuat pemotongan gaji setiap bulan telah membantu
untuk memenuhkan akaun Tabung Haji (TH), di samping membuat simpanan dari
semasa ke semasa.
Apabila disemak dalam tahun 2013, telah diketahui bahawa
berkemungkinan aku akan dapat menunaikan haji dalam tahun 2015. Jumlah tabungan
telah mencukupi, namun pemotongan dan penyimpanan ke akaun TH diteruskan. Telah
dibincangkan bersama Abah, agar membuat persiapan untuk mencukupkan jumlah
simpanan di TH. Alhamdulillah, menjelang Januari 2014, simpanan kami berdua
telah mencukupi, termasuk juga wang perbelanjaan di Makkah dan Madinah nanti.
ALLAH Maha Besar.
Tanpa diduga, ALLAH SWT telah memanggil Abah untuk
mengadapNYA tanpa sebarang tanda dan pesanan. Arwah Abah meninggal dunia pada Subuh
hari Khamis, 28 Ogos 2014 ketika tidur. Aku dan anak-anak, pasrah. Memang
pemergian Arwah Abah amat tidak diduga dan secara tiba-tiba, namun, terpaksa
kami terima, sambil mengimbau kembali sekiranya ada tanda-tanda Abah akan
meninggalkan kami untuk selamanya. Tiada. Namun, pada Rabu malam, Arwah Abah
telah menelefon kami, tetapi tiada siapa yang menduga, itu adalah panggilan
yang terakhir.
Jenazah Abah telah disemadikan di Seksyen 21, Shah Alam.
Kami sering mampir ke sini, semasa melawat Ein, atau semasa lalu di sekitar
Shah Alam. Semoga Abah, ALLAH tempatkan bersama insan-insan yang soleh dan
dikasihiNYA. Kami cuba bangkit, meneruskan kehidupan dengan apa adanya.
Disember 2014, aku telah menerima surat panggilan untuk
menunaikan haji di tahun 1436 Hijrah,
bersamaan 2015 Masihi. Surat diterima dengan seribu rasa. Siapa yang akan
menemaniku sepanjang pemergian menunaikan ibadah haji nanti. Usia telah
mengizinkan agar aku pergi tanpa muhrim, namun, rasanya amat berat untuk pergi
bersendirian.
ALLAH Maha Mengetahui. Ketika menghadiri kenduri
menyambut menantu Paman Rin, aku telah bertemu dengan Bik Mun. Rupanya-rupanya,
Bik Mun, Paman Saidi dan Adli mendapat giliran menunaikan haji di tahun yang
sama. Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH, telah memberikan jawapan dan memberi
kemudahan kepadaku agar dapat pergi dengan aman bersama Bik Mun dan
keluarganya. Bik Mun adalah adik Emak.
No comments:
Post a Comment