Sampai di SA, sudah ramai sahabat dan saudara mara yang datang,
berkumpul di depan rumah. Semuanya hanya memandang sahaja ketika aku memimpin
Mak menuju ke rumah. Bella yang paling manja dengan Abah, meluru masuk… entah
apa yang dirasakannya kini...
Aku masuk ke rumah seperti orang yang datang
menziarahi/layat ke rumah itu, padahal akulah tuan rumahnya…. Ya ALLAH, entah
apakah rasa yang sedang aku rasakan…?? Bella sedang mengadap Abahnya,
berbisik-bisik…berbual dengan Abahnya untuk kali yang terakhir…
Hampir 23 tahun hidup bersama Abah, suka duka silih
berganti… kehidupan yang dilihat orang sentiasa aman dan damai, kerana Abah memang seorang yang pendiam, sentiasa menyokong apa yang aku mahu lakukan, kecuali apabila tercuit sikapnya yang tidak dapat meninggalkan keburukan merokok. Ini telah menjadi penyebab kepada kucar kacirnya kehidupan yang berlaku di tahun 2011 – 2012… Akhirnya Abah berjaya meninggalkan rokok (ketika didepanku)... Mudah-mudahan dia dapat meninggalkan rokok itu sepenuhnya... aku sentiasa bersangka baik...
Jenazah Abah ku lihat seperti sedang tidur…mata tertutup rapat,
tenang…. aman. Begitulah penyudahan kehidupan Abah. Hidup ku? Entah bagaimana penyudahnya nanti.. Semoga ALLAH ampunkan
dosanya, lapangkan dan terangkan kuburnya, terima segala amalannya dan
memasukkannya dalam golongan orang-orang yang beriman… Aamiin…
Abah disempurnakan di Masjid Seksyen 24 SA. Sebelum masuk
waktu Asar, Abah sudah siap dimandikan dan dikafankan. Selesai saja solat Asar
berjemaah, jenazah Abah disolatkan untuk kali terakhir. Ramai
sahabat-sahabatnya yang datang dan turut serta menyembahyangkan jenazahnya…
Selepas itu, kami mengiringi Abah ke Seksyen 21 SA, ke tanah
perkuburan persemadian Abah. Apabila ditanya mau dikebumikan di mana, tiada apa
yang terlintas difikiran, cuma mahu menguruskan jenazah Abah seberapa segera
yang boleh. Tidak sanggup mahu bertangguh-tangguh dalam urusan pengkebumian
ini… Kubur Abah di tepi jalan besar, di Fasa 3 tanah perkuburan Islam di situ.
Sekitar jam 6.15 petang, 28 Ogos 2014, urusan pengkebumian dan talkin telah selesai
dilakukan..
Abah.. perginya tiba-tiba.. sehingga kini rasanya tidak
percaya bahawa Abah sudah tiada. Rasanya Abah masih ada dan pergi kerja untuk tempoh yang lama… tidak
pulang-pulang… Tidak sempat kami anak beranak mahu berbakti , menjaganya
sakit.. Syukur, Alhamdulillah, aku telah memohon ampun dan maaf.. Perginya Abah
tiada tanda apa-apa.. tiada persediaan apa-apa..
Terima kasih kepada saudara mara, sahabat handai,
pelajar-pelajar dan rakan sekerja yang tidak putus-putus datang… memberi
sokongan dan semangat agar aku dan anak-anak redho, tabah dan tetap tegar untuk
meneruskan kehidupan…
Semoga roh Abah tenang dan aman di sana.. dan semoga Abah
telah memaafkan ku.. aku tahu, aku bukan seorang isteri yang baik, dengan
kesibukan kerjaku dan dengan kesibukan perasaanku… Ya ALLAH… semoga kehidupanku
dan anak-anak akan terus KAU berkahi dan redhoi, KAU kurniai kami dengan hati
yang sabar, kuat dan tabah dan KAU lindungi kami dari rasa sedih, dukacita dan
putus asa… Aamiin…
Inilah cerita hidupku... Hidup yang tiba-tiba sendiri, hinggakan ramai sahabat yang menyatakan kagum melihat aku begitu tabah menghadapi kehilangan ini... Tiada siapa yang tahu akan rasa-rasa dihatiku, hanya ALLAH SWT. Semoga ALLAH akan terus memberiku kemudahan kerana.... aku tiada pilihan..
Aku perlu kuat dan tabah demi anak-anakku….
24 November 1991 - diapit oleh Arwah Abah dan Arwah Wak Yusuf serta tetamu dari NTB
No comments:
Post a Comment