Monday, November 24, 2014

Hari Ulangtahun Perkahwinan ke-23 (24 November 1991 - 2014) - Bahagian 1

Pernikahan pada 17 November 1991.

24 November, kami disatukan dalam sebuah majlis yang sederhana tetapi meriah. Majlis persandingan yang turut dihadiri oleh tetamu jauh yang istimewa dari NTB. Kehadiran yang tidak diduga. Dan kini, telah hadir semula setelah 20 tahun menghilangkan dirinya… Hadir, untuk pergi lagi…

ALLAH Maha Mengatur kehidupan ini. Tidak pernah termimpi yang aku akan hidup berseorangan di hari-hari tuaku. Dulu pernah merancang dan berangan-angan dengan Abah untuk keliling Malaysia dan seterusnya keliling Asia bila sudah tidak bekerja lagi dan anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing. Semuanya tidak kesampaian, kerana Abah terlebih dulu dijemput oleh ALLAH SWT.

Abah pergi pada hari Khamis, 2 Zulkaedah, 1435 Hijrah, bersamaan 28 Ogos 2014, dalam usia 54 tahun. Pemergian yang tiba-tiba kerana tiada tanda-tanda Abah sakit serius, cuma ada mengadu yang beliau kepenatan kerana tugasan yang banyak. Ramai yang tidak percaya Abah meninggal dunia kerana pada minggu, 24 Ogos 2014 baru saja bertemu kerana kami mengadakan jamuan Hari Raya Aidil Fitri 2014. Dan Abah, masih sihat walafiat...

Aku di kuliah semasa mendapat panggilan. Melihat nombor Abah yang muncul di skrin *6927, aku tidak menyangka apa-apa. Memang Abah selalu telefon ketika aku di kuliah. Rupa-rupanya, Nabil, anak ke-4 yang menelefon. Masih terngiang suara terkejut dan sebak Nabil.. “Mak, Abah tak bangun Mak… Baliklah Mak...” Suara Nabil sebak. Berderau darahku naik ke kepala. Aku minta Nabil pastikan dengan mengusap air ke muka Abah, tetapi Nabil kata, Abah tidak bangun juga. Aku terdiam, memikirkan apa yang patut ku lakukan. Jarak BJ ke SA adalah lebih kurang 65km, tergesa-gesa pulang hanya membahayakan diri sendiri.

Aku telefon Ajem, anak sulungku yang bekerja di PJ. “Ajem, balik sekejap. Nabil kata Abah tak mau bangun. Cuba lihat apa yang berlaku..” Ajem terus pulang ke rumah. Tidak lama selepas itu, Ajem telefon untuk mengesahkan…”Betul Mak, Abah dah tak ada…”

Aku pasrah. Aku redho. Abah telah dijemput oleh ALLAH SWT… Sampai di pejabat, Bella sedang menangis.. “Nabil telefon..” katanya. “Ya, Mak tau..” Bella kini sedang melanjutkan pengajian di UNISEL dalam Program Diploma TESL. Dari awal dia mengatakan mau menemankan aku pergi dan pulang dari kerja. Aku tidak tahu, mungkin itu juga adalah petanda. Kami terus segera pulang ke SA.
Rasaku……… tidak tahu untuk digambarkan. Aku langsung tidak bersedia untuk menggalas tugas dan kewajipan membesarkan anak-anak sendirian. Tidak pernah terlintas yang aku akan mendapat status baru ini sebegini cepat.. Sesuatu yang tidak pernah terfikirkan…

Ketika pulang, kami singgah ke rumah di SB untuk menjemput Mak. Tiada apa yang ku katakan padanya, melainkan..”Mak solat Zuhur dulu, kita balik SA”. Mak tidak tau apa-apa sehinggalah mendengar perbualan telefon di antara aku dengan Wak Siah. Aku juga telefon Anis, adikku. Selain itu, aku tidak ingat mahu telefon siapa-siapa lagi. Aku buntu.. aku ‘numb’.. Aku pandu kereta sangat tenang, mengikut arus kenderaan yang lain kerana memikirkan sedang membawa Bella dan Mak. Sambil memandu, semuanya menerjah ke minda. Cuba untuk mengingati, ‘flashback’ memori sekiranya ada tanda-tanda yang Abah tunjukkan. Memang tiada… 


Aku teruskan pemanduan di dalam kesesakan lalu lintas. Tiada airmata yang gugur, kerana… aku tidak merasa apa-apa… aku merasa kosong…hilang… Ketika dalam perjalanan itulah, Abang telefon bertanyakan keadaan yang sebenar… apa yang telah ku katakan itulah, jawapannya…

No comments:

Post a Comment