Wednesday, December 2, 2015

VERTIGO - 27 - 30 NOVEMBER 2015

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

"Bahkan di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya.


VERTIGO

Sakit itu betul kifarah dosa. Bermula pada pagi Jumaat, 27 November. Kepala terasa berat, walaupun tetap pergi kerja, pagi itu pergi juga ke Klinik Rosli di Bestari Jaya. Kepala terasa berat dan dapat MC sehari. Namun, tetap di ofis sambil menunggu Bella habis kelas.

Sehari hanya memejamkan mata kerana dunia berpusing apabila mata dibuka. Ingatkan apabila pulang ke rumah, sakit akan berkurangan, namun rupa-rupanya tidak. Malam semakin tenat, tidak selesa tidur dan sukar mau makan.

Sabtu, semakin tenat. Mata tidak boleh dibuka, tidak boleh bangun juga. Dunia terasa berpusing. Makan, terus muntah, tidak boleh bangun solat pun. Sehari suntuk tidak solat dan apabila makan, muntah semula. Malam Ahad, pergi ke Hospital Sg Buloh dan kena tahan. Di depan doktor, muntah sekali lagi dan akhirnya telah diberi waktu untuk istirahat di ruang rawatan. Doktor telah jab ubat, mungkin untuk mengurangkan sakit kepala. Tiga kali menjalani pemeriksaan jantung, namun tiada apa-apa. Doktor juga merujuk kepada pemeriksaan telinga yang akan dilakukan pada hari Isnin, memandangkan hari Ahad klinik pakar ditutup.

Akhirnya dalam jam 7.30 pagi di bawa ke Wad 4B untuk pemeriksaan lebih lanjut. Kasihan CT dan Bella yang terpaksa menunggu dan tidur di ruang menunggu. Selepas masuk ke wad lebih kurang jam 8 pagi, baru mereka pulang ke rumah.

Vertigo 
noun
  1. a sensation of whirling and loss of balance, associated particularly with looking down from a great height, or caused by disease affecting the inner ear or the vestibular nerve; giddiness.

http://www.medicalnewstoday.com/articles/160900.php#causes_of_vertigo

Sungguh sakit kepala ini tidak tertanggung. Sepanjang di hospital, doktor masukkan air 2 botol, jab 4 kali dan termasuk pil beberapa kali. Doktor periksa mata dan mendapat anak mata bergerak-gerak. Sebab itu diminta buat pemeriksaan telinga takut ada sesuatu pada telinga yang menyebabkan tidak seimbang. Tetapi, Alhamdulillah. Semua hasil pemeriksaan adalah negatif. Mungkin ini hanya disebabkan oleh keletihan melampau, di mana setelah pulang dari mengerjakan haji pada 1 Oktober, aku tidak berehat sepenuhnya.

Hari Isnin, menjalani pemeriksaan telinga di Klinik Otorinolaringologi, nama yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Pemeriksaan di sini juga, Alhamdulillah, negatif. Akhirnya doktor membenarkan aku pulang ke rumah, selepas semua pemeriksaan adalah negatif. Lebih kurang jam 11 pagi, aku telah bersedia untuk pulang ke rumah, berbekalkan berjenis ubat-ubatan dan 7 hari MC.

Syukur, Alhamdulillah. Kondisi semakin membaik. Walaupun MC, ku teruskan memberi kuliah memandangkan peperiksaan akhir semester bagi kursus yang diajar adalah pada hari Isnin, 7 Disember 2015. Semoga pelajar-pelajarku semua dapat menjawab dengan mudah.

Meneruskan MC sehingga 7 Disember, dan akan menjalani lawatan susulan pada hari Rabu, 9 Disember 2015. Semoga ALLAH SWT terus memberi kesihatan dan kemudahan dalam apa juga yang kulakukan. Aamiin yaa Rabbal Alamin.


No comments:

Post a Comment